PENGENALAN
Abad resam merupakan sesuatu benda yang wajib bagi sesuatu kaum dan setiap bangsa di Malaysia ini mempunyai adab resamnya yang tersendiri. Adab resam yang diterima pakai dan dijadikan peraturan dan panduan dalam hidup. Seterusnya ia membentuk hukum yang akan diamalkan dalam kehidupan masyarakat tersebut. Abad yang diamalkan oleh sesuatu kaum itu akan melambangkan kaum tersebut. Hal ini demikian kerana, adab yang diamalkan oleh sesebuah kaum adalah berbeza dan ia mengikut kepercayaan dan pantang larang masing-masing. Ada sesetengah adab yang diamalkan akan menyalahi agama terutama agama Islam contohnya adab menolak bala. Adab ini seolah-olah tidak percaya kepada kebesaran pencipta sehingga adab resam yang karut ini dilakukan.
Adab resam ialah sebagai latar cara yang diterima mengenai cara makan, bertutur, berjumpa sahabat handai dan sebagainya atau adab itu cara bertindak yang umum yang dipercayai secara sosial. Dalam kamus dewan pula, menurut pandangan Tengku Iskandar 1984, mentafsirkan istilah adab resam sebagai adab kebiasaan, aturan-aturan yang menjadi adab resam seperti makan bertertib, bersopan-santun ketika bertutur di mana ia menjadi sifat atau tabiat manusia semulajadi yang menjadi turun-temurun. Daripada penafsiran ini adab resam tersebut kita dapat mengetahui anggota masyarakat yang mengamalkan adab resam dalam kehidupan mereka lebih bertatacara. Adab resam setiap kaum berbeza tetapi persamaannya tujuannya sama iaitu untuk membentuk satu masyarakat yang maju, dinamik dan progresif.
Menurut pandangan R.Roolvinki 1966, budaya adalah berasal daripada perkataan asalnya iaitu budi dan daya dan daripada perkataan inilah munculnya perkataan budaya. Pendapat ini disokong oleh R.Roolvink. Manakala menurut pandangan M.Herskotives mengatakan manusia mempunyai budaya dapat berinteraksi antara satu sama lain. Budaya ini adalah perlakuan manusia yang dipelajari dan bersifat simbolik.
ASAL USUL KAUM SUNGAI DI SABAH
Dari catatan sejarah, asal usul mengenai orang Sungai adalah bermula dari tahun 1881, apabila residen pertama Sandakan iaitu Sir William Pryer menjalankan ekspedisi menyusuri sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Labok yang masih wujud sekarang ini. Beliau terserempak dengan masyarakat dengan panggilan “The River People”. Selepas peristiwa berikut dan semasa pemerintahan The Britain North Borneo Company, panggilan ini telah ditukar kepada Orang Sungai. Mengikut Whelan F.G, Orang Sungai pada asalnya adalah orang Dusun tetapi oleh kerana pada zaman itu mereka dobawah pemerintahan kesultanan. Orang Sungai kebanyakannya mereka telah menganut agama Islam dan mula menetap di tepi sungai, mereka mengasingkan diri dan orang Dusun atau dipanggil orang barat dan cuba menyesuaikan diri dengan cara hidup mereka di tepi-tepi sungai sehingga berlakunya perubahan dari segi hidup dan pertuturan.
Suku kaum sungai merupakan suku kaum Idahan yang salah satu kumpulan etnik peribumi di Sabah yang terawal dan terdapat di kawasan Pantai Timur Sabah iaitu daerah Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan. Manakala bilangan suku kaum ini agak sedikit dan dianggap sebagai suku kaum minority di Sabah serta jumlah ini adalah berdasarkan anggaran sahaja. Keadaan ini berlaku kerana tidak ada satu angka yang tepat tentang jumlah sebenar penduduk suku kaum Idahan di Lahad Datu. Anggaran ini dibuat berdasarkan jumlah pengundi yang berdaftar dan suku kaum Idahan dikategorikan sebagai bangsa lain-lain perangkaan penduduk Malaysia. Sebenarnya suku kaum Idahan mempunyai rumpun atau keluarga sendiri seperti kaum Dusun dan Bajau. Mereka dibahagikan kepada tiga subkeluarga seperti agama, bangsa dan tempat tinggal. Dalam penempatan pula, suku kaum Idahan kebanyakannya tinggal di daerah Lahad Datu dan setiap perkampungan seperti di kawasan sekita tungku di panggil begahak dan di kawasan Sandakan dan Kinabatangan mereka di panggil Orang Sungai. Walaupun suku kaum ini di panggil dengan nama berlainan tetapi mereka adalah dalam satu rumpun yang sama. Oleh kerana disebabkan penggunaan bahasa yang sama dan boleh berinteraksi antara satu sama lain.
Suku kaum sungai juga penganut agama Islam dan ada yang beragama Kristian manakala terdapat juga masih tiada menganut apa-apa agama. Walaupun berlainan agama, hubungan kekeluargaan mereka tidak putus. Malahan mereka berinteraksi antara satu sama lain dan ada juga yang tinggal di kawasan kampong yang sama. Mengikut sejarah perkembangan Islam di Sabah, suku kaum Sungai merupakan pemeluk agama yang pertama di negeri Sabah. Sumber ini dibuktikan pemelukan agama Islam oleh salah orang Idahan yang tinggal di kawasan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 1408. Orang tersebut bernama Abdullah dan pengislamannya dilakukan di kawasan teluk Darvel oleh auliah dari arab yang bernama auliah Makdum. Fakta ini dibuktikan dengan pertemuan sebuah manuskrip lama yang bertulisan Jawi dalam bahasa Sungai lama daripada salah satu tokoh agama di daerah Lahad Datu iaitu Imam Injir atau dikenali sebagai juga sebagai Ahmad bin Imam Panjng. Khazanah yang berharga ini ditemui oleh Tom Harrison semasa beliau membuat kajian tentang suku kaum Sungai di Lahad Datu.
Dalam suku kaum Idahan ini terdapat juga nama kampung yang diambil berdasarkan sifat dan bentuk sungai seperti kawasan Sapagayo. Pemberian nama kampung ini adalah berdasarkan bentuk sungai itu yang dikata mempunyai banyak air besar iaitu sapa yang bermaksud air dan gayo pula bermaksud besar. Begitu juga dengan nama kampung terusan yang mempunyai banyak anak sungai yang berbentuk terusan dan terdapat sungai-sungai kecil yang berterus menghubungkan banyak anak sungai sapagayo. Justeru itu, nama-nama tempat yang dibuat oleh suku kaum Sungai adalah bersifat alam yang terdapat di kawasan yang mereka diami. Pada masa kini, suku kaum Sungai berada dalam situasi peralihan daripada masyarakat tradisional kepada masyarakat bandar. Keadaan ini berlaku sebahagian daripada aktiviti ekonomi pasaran. Selain itu, sistem ekonomi sara diri proses peralihan. Di samping itu, sistem ekonomi sara diri kepad sistem ekonomi pasaran. Justeru itu, telah ramai generasi muda melibatkan diri dalam pekerjaan berpendapatan tetap sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Perubahan yang berlaku ini akibatnya daripada pendedahan sistem pendidikan, perubahan kehidupan yang berlaku bukan sahaja dari sesi ekonomi malahan turut melibatkan kepada aspek lain seperti kepimpinan, perkahwinan dan kekeluargaan serta adat resam yang turut berubah.
Sesebuah masyarakat yang wujud akan mempunyai kepercayaan dan pantang larangnya yang tersendiri. Kepercayaan dan pantang larang ini tidak dapat dipisahkan daripda sesebuah masyarakat kerana ia merupakan pembentuk dan pengenalan kepada sosiobudaya sesuatu bangsa. Oleh itu, untuk mengenali sesuatu bangsa itu dengan lebih mendalam maka amat wajar bagi seseorang untuk mengetahui sosiobudaya dan pantang larang kaum tersebut. Menurut seorang pengkaji budaya, kepercayaan dan pantang larang yang di amalkan oleh kaum Idahan atau dikenali sebagai kaum sungai ini hampir sama dengan suku kaum peribumi yang lain di Sabah. Cuma yang membezakan ialah cara pengendlian dan pengaplikasian di dalam kehidupan kaum sungai ini. Jadi untuk melihat sejauh mana mereka patuh dengan sistem sosial mereka yang di amalkan bergantung kepada persepsi dan pengamalan dalam masyarakat tersebut.
Amalan kepercayaan dan pantang larang ini telah membentuk disiplin sosial dalam kalangan masyarakat Sungai. Jika mereka tidak menurut kepercayaan dan pantang larang mereka, mereka akan dikhuatiri sesuatu bala bencana akan menimpa kepada mereka. Hal ini telah menimbulkan unsur-unsur ketakutan yang akan menjadi pendorong kepada ahli masyarakat untuk patuh kepada amalan-amalan tradisional ini. Sistem sosial kaum Idahan juga adalah implementasi pengamalan kehidupan sejak lahir. Kepercayaan yang dipegang dalam kaum ini diperoleh daripada pengalaman ritual dan diwariskan secara turun-temurun daripada ibu bapa. Pantang larang ini juga boleh dianggap sebagai suatu disiplin lisan. Selain itu, ia juga boleh dirujuk kepada had-had kehidupan yang digaris oleh sistem kepercayaan terutamanya tentang makhluk halus yang turut menetap bersama dengan mereka.
Jika berlaku ingkar, mereka percaya akan mengundang bencana alam yang tidak diingini. Di sini dapat memperlihatkan bahawa pantang larang yang diamalkan itu bertujuan untuk melindungi seseorang daripada sebarang malapetaka yang berlaku daripada kuasa ghaib. Dalam kaum Sungai ini pantang larang yang dipengaruhi oleh konsep liwon. Konsep ini begitu kuat sekali kerana ia mempengaruhi aspek sosial dan masyarakat itu.
Antara kepercayaan dan pantang larang yang terdapat dalam masyarakat kaum Sungai ini seperti amalan dalam kegiatan ekonomi, amalan pembinaan rumah, wanita yang mengandung dan ketika menyambut kelahiran bayi, upacara tolak bala. selain itu, terdapat juga amalan kepercayaan dan pantang larang lain dalam kehidupan seharian. contoh kepercayaan dan pantang larang harian dalam masyarakat Sungai seperti jika tengah memasak tidak boleh menyanyi terutama anak dara, begitu juga semasa membuang air kecil atau besar. hal ini demikian kerana masyarakat kaum etnik ini mempercayai akan mendapat pasangan yang tua semasa berkahwin nanti. selain itu, anak dara juga tidak dibenarkan duduk di atas tangga rumah depan ataupun tangga dapur kerana dipercayai lambat menerima jodoh. kepercayaan dan pantang larang ini bukan sahaja melibatkan golongan anak dara tetapi melibatkan juga golongan kanak-kanak.
Antara kepercayaan dan pantang larang dalam kalangan kanak-kanak seperti kanak-kanak tidak boleh bermain api kerana dipercayai apabila besar nanti akan menjadi seorang pencuri. Selain itu, kanak-kanak yang belum tumbuh gigi tidak boleh diletakkan di atas kepala kerana dipercayai akan tumbuh gigi secara bertingkat. Di samping itu, kepercayaan dan pantang larang harian yang lain juga terdapat dalam kaum Sungai ini seperti apabila seseorang itu bersin hendaklah dipanggil semangatnya dengan seruan "baliklah semangat kau ke dalammu semula". Kaum ini juga tidak boleh menyiku atau bermain siku-menyiku kerana ia dipercayai perbuatan menyumpah dan boleh mengakibatkan pendek umur. Perbuatan bersiul pada waktu siang ataupun malam tidak boleh dilakukan oleh kaum ini. Hal ini demikian kerana jika perbuatan ini dilakukan pada waktu siang ia dianggap sial manakala jika berlaku pada waktu malam pula ia dianggap memanggil hantu. Hal ini perbuatan bersiul ini merupakan permainan syaitan dan iblis. Selain itu, terdapat banyak lagi kepercayaan dan pantang larang dalam kaum Sungai ini.
Sebenarnya segala kepercayaan dan pantang larang yang wujud ini adalah pembentuk sosial atau cara untuk mendidik anak-anak. Misalnya, kepercayaan dan pantang larang yang kanak-kanak yang sedang bermain api itu sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat kerana pada masa dahulu orang-orang Idahan ini menggunakan pelita atau lampu daripada minyak tanah. jadi untuk mengelakkan daripada berlakunya kebakaran jadi orang tuan terdahulu telah membuat kisah yang menakutkan ini untuk menakutkan kanak-kanak supaya kanak-kanak ini tidak lagi bermain dengan api. selain itu, kepercayaan dan pantang larang berkaitan dengan anak dara yang tidak boleh menyanyi di dapur semasa memasak sebenarnya simbolik agar si dara berjumpa dengan pasangan tua. sebenarnya, ia mempunyai maksud yang tersirat iaitu supaya makanan yang dimasak itu tidak hangus dan tidak berlaku kebakaran.
Kepercayaan dan pantang larang dalam masyarakat sungai ini diamalkan sehinggalah ke hari ini. Walaupun zaman moden dan akan menuju ke zaman globalisasi, kepercayaan ini masih kukuh dalam kehidupan masyarakat kaum Sungai ini sebagai pembentuk sosial kepada anak-anak mereka.
Selain daripada dan pantang larang harian yang diamalkan mereka juga terdapat kepercayaan dan pantang larang kepada wanita yang sedang menagndung. Dalam kaum Sungai ini wanita yang sedang mengandung mestilah mengikut beberapa pantang dan adab kelahiran bayi. Hal ini demikian kerana menurut kepercayaan kaum Sungai jika si ibu ingkar kepada pantang larang ini maka si anak memperoleh rogkot dalam kehidupannya. Oleh itu, pantang larang dan adab ini telah diterapkan daripada bayi itu dalam kandungan ibu lagi. Menurut kaum Sungai lagi, ibu yang mengandung ini mudah dirasuk dan diganggu oleh syaitan dan makhluk halus. Oleh itu, wanita yang mengandung ini akan memakai wangi-wangian yang disapu dengan bonglai pada seluruh badan supaya mereka tidak diganggu.
Selain itu, wanita yang mengandung ini juga boleh menjahit seperti menampal kain kerana dipercayai air tembuni akan bertambah banyak. Wanita yang mengandung juga tidak boleh berjalan pada waktu malam, hujan dan waktu berlaku ribut kerana pada masa ini makhluk halus dan syaitan suka berkeliaran. Disebabkan hal ini, wanita yang mengandung ini tidak dibenarkan keluar kerana dikhuatiri apabila diganggu boleh membawa kemudaratan seperti berlakunya keguguran atau bersalin awal. Di samping itu, wanita yang mengandung apabil berjalan tidak perlu mengikat rambut sebaliknya dihuraikan sahaja rambut itu. Hal ini demikian kerana dengan perbuatan seperti menghuraikan rambut ini akan menakutkan dan mengelakkan gangguan makhluk-makhluk halus. Si suami atau si isteri juga tidak boleh membunuh binatang kerana ditakuti akan terkena kenan daripada binatang yang dibunuh. Bagi wanita mengandung yang telah kehilangan suami, wanita ini hendaklah memakai pakaian suami sehingga lepas bersalin.
Apabila tiba waktu bersalin dan sekiranya berlaku keadaan di mana si ibu mengalami kesulitan ketika bersalin, maka bidan akan mengarahkan kepada suami kepada wanita yang bersalin itu memakai kain. Selepas itu si suami dikehendaki melangkah perut si isteri sambil berkata “keluarlah kau anak janganlah kau berkecil hati dengan bapak”. Selepas bersalin, wanita itu akan mandi untuk membersihkan badan sehingga selesai waktu nifas. Mengikut kepercayaan masyarakat Idahan “mandi bersih badan” ini mempunyai beberapa peringkat iaitu pertama, mandi tiga hari selepas bersalin kedua, mandi pada hari ke tujuh, hari kedua puluh, hari keempat puluh dan yang terakhir pada hari keempat puluh empat hari. Orang yang bertanggungjawab memandikan ialah bidan itu sendiri.
Pantang larang dalam amalan yang seterusnya ialah pantang larang dalam amalan upacara tolak bala. Amalan ini dilakukan pada hari rabu di akhir bulan Safar setiap tahun. Amalan ini dilakukan dengan tujuan untuk menghindarkan segala malapetaka untuk tahun seterusnya. Menurut kepercayaan suku kaum Sungai hari rabu merupakan hari nafas atau hari yang berbahaya. Ketua kampung merupakan orang yang bertanggungjawab untuk mengumumkan hari tolak bala tersebut. Selepas pengumuman dilakukan, maka proses penyediaan makanan akan bermula. Antara sajian wajib ada semasa upacara ini berlangsung ialah ketupat. Kebiasaannya tempat untuk melakukan upacara ini ialah di kawasan sungai yang berhampiran dengan rumah ataupun di kawasan muara sungai.
Apabila hari tolak bala, semua penduduk akan berkumpul di kawasan yang telah ditentukan oleh imam kampung. Mereka akan membawa makanan yang telah mereka sediakan untuk dijamu bersama-sama. Apabila semua berkumpul, maka imam akan memulakan bacaan doa arwah denga diikuti dengan bacaan doa selamat supaya segala yang tidak baik dapat dijauhi. Selesai pembacaan doa yang dilakukan oleh imam, mereka akan menjamu selera bersama-sama. Apabila selesai makan, imam akan memulakan upacara tolak bala. Semasa upacara ini berlangsung, setiap individu mesti memegang objek-objek seperti pasir atau batu ditangan semasa acara tolak bala itu dilakukan. Apabila imam menjiruskan air ke badan mereka, maka batu atau pasir yang dipegang itu akan dilepaskan serta merta bersama-sama air tolak bala itu sambil berniat semoga segala perkara yang tidak baik akan terikut pada waktu atau pasir tertentu.
Semua yang sampai akan dikumpul dan akan dihanyutkan dengan menggunakan satu kapal kecil yang dihiasi dengan bendera berwarna-warni, selepas acara tolak bala berakhir. Dalam upacara tolak bala ini terdapat dua bacaan tolak bala. Yang pertama bacaan ketika mandi. Dan yang kedua ialah bacaan yang dihembus ke dalam tempayan dan di minum dengan seisi keluarga. Pada hari upacara tolak bala itu berlangsung tidak dibenarkan seorang pun membuat aktiviti kerana dikhuatiri jika berlaku sesuatu perkara ia boleh membawa maut dan mendapat musibah yang besar.
Pada masa kini, amalan ini telah mengalami perubahan kerana telah berlaku pendedahan kepada anak-anak muda tentang ajaran agama Islam dan hukum-hukum agama Islam. Perkara-perkara yang melanggar ajaran agama Islam telah ditinggalkan. Sekarang upacara tolak bala dilakukan di masjid kampung. Kaum lelaki akan datang dengan membawa makanan yang disediakan dari rumah untuk dijamu bersama-sama jemaah masjid yang lain. Upacara ini dilakukan apabila selesai solat Zuhur dan iman akan membaca doa arwah dan doa selamat. Selesai bacaan doa selamat mereka semua akan menjamu selera dan selepas itu mereka akan bergotong-royong akan membersihkan kawasan tempat makan. Apabila selesai membersihkan kawasan tempat makan para jemaah akan pulang ke rumah masing-masing dan ini boleh dikatakan amalan tolak bala sudah tidak diamalkan lagi.
Merisik (Jarum-jarum)
Ø Pihak lelaki akan menghantar satu atau dua orang wakil untuk bertandang ke rumah si gadis yang telah dicalonkan oleh lelaki untuk tujuan merisik. Tujuan untuk mengetahui status si gadis sama ada sudah berpunya atau belum. Jika belum berpunya, maka wakil akan memberikan notis kepada pihak si gadis untuk bertandang sekali lagi untuk meminang pada tarikh yang akan yang akan ditetapkan.
Meminang (Menawo)
Ø Kedua-dua pihak akan menghantar wakil masing-masing untuk melakukan perundingan bagi majlis perkahwinan yang bakal dilangsungkan. Wakil tersebut hendaklah mempunyai pengalaman tentang adat istiadat perkahwinan dan fasih berkata-kata semasa melakukan perundingan. Hasil perundingan tersebut perlulah ada kata sepakat dan harmoni agar tidak ada yang terguris bagi mana-mana pihak. Penyerahan pembuka mulut (pengawang basaro) dilakukan untuk memulakan majlis meminang sebagai tanda budi pekerti dan sopan santun dari pihak lelaki. Selain itu, penyerahan belanja duduk juga akan diberikan sebagai bayaran perbelanjaan majlis meminang kepada tuan rumah. Jika sudah mendapat keputusan perundingan, jumlah hantaran dan mas kahwin, sebentuk cincin (panando) akan disarungkab di jari si gadis dari pihak lelaki sebagai tanda setuju yang si gadis telah pun dipinang. Tarikh penghantaran hantaran perlu ditetapkan agar pihak lelaki bersedia. Adat kelangkahan akan berlangsung jika terdapat langkah bendu. Perkara ini akan ditentukan dari persetujuan kedua-dua pihak.
Majlis Hantaran (Mengossur)
Ø Semasa majlis ini, pihak lelaki kena menyerahkan kelengkapan dengan penut adat istiadat untuk diberikan kepada pihak si gadis. Jumlah permintaan hantaran mestilah tepat seperti yang dijanjikan. Hantaran yang diberikan hendaklah dibalas dengan hiasan kraftangan yang cantik sebagai tanda terima kasih. Bilangan dulang hendaklah dalam bilangan ganjil dan pihak si gadis perlu membalas melebihi hantaran lelaki. Tarikh perkahwinan dan aturcara majlis pernikahan akan dibincangkan dalam majlis ini atas persetujuan kedua pihak.
Majlis Malam Berinai (Gabbpie Tullau)
Ø Pengantin lelaki akan menghantar satu set kelengkapan untuk majlis berinai pada malam sebelum majlis pernikahan. Acara ini dilakukan di rumah pengantin masing-masing yang dihadiri oleh kaum kerabat sahaja. Dalam majlis ini, acara cukur jambul, membaca berzanji, marhaban dan Khatam Al-quran turun diadakan bagi memeriahkan majlis. Menurut pantang larang kaum Sungai, pengantin digalakkan untuk berjaga (tullau) sepanjang malam untuk mengelakkan mendapat mimpi yang buruk.
Majlis Nikah Kahwin (Nagnikah)
Ø Berdasarkan hukum-hakam agama Islam, majlis nikah akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Menurut adat membuka pintu (okab lawang) akan diminta oleh keluarga pengantin perempuan selepas pernikahan diikuti dengan bacaan doa kesyukuran selepas akad nikah dijalankan. Selepas itu pengantin akan bersalaman dengan para tetamu dan pengantin lelaki akan membawa isterinya masuk ke bilik untuk upacara pembatalan air sembahyang. Sebelum masuk ke bilik pengantin, acara tepung tawar dilakukan ke atas pengantin. Setelah itu adat suap-menyuap (menemo) iaitu kedua pengantin akan disuapkan dengan nasi putih dan telur ayam oleh wakil keluarga. Pengantin akan dibaringkan serentak sebanyak tiga kali berturut-turut di atas katil peraduan (tagugan) dan barulah pengantin dikeluarkan dari bilik untuk majlis bersanding.
Majlis Bersanding (Nagsanding)
Ø Pengantin akan bersanding di atas sebuah singgahsana raja sehari yang telah dihias untuk mempertontonkan kepada orang ramai yang hadir. Acara merenjis disempurnakan oleh kedua-dua pihak pengantin dan orang kenamaan sebagai tanda merestui perkahwinan tersebut. Majlis selalunya akan diulangi pada malam ketiga (ratub tello’) dan malam ketujuh (ratubturu). Sebelum genapnya hari yang ketujuh, pengantin dilarang untuk memijakkan tanah kerana itu adalah pantang larang dan semasa berpantang, kelas nasihat akan dikendalikan oleh tok guru atau mak andam yang sangat berpengalaman dalam perkahwinan.
Majlis Sambut Menantu (Tingkuang)
Ø Selepas tujuh hari (ratob turu’), sampailah waktu. Pengantin lelaki membawa isterinya pulang ke rumahnya untuk diperkenalkan kepada keluarga secara rasmi. Majlis tepung tawar (penemmil) akan dilaksanakan sebelum pengantin masuk ke dalam rumah dn apabila melangkah masuk, pengantin akan ditaburi dengan beras kunyit (begkas bianing) sebagai tanda kesyukuran. Hadiah istimewa (pengennik) dari keluarga pengantin lelaki akan diberikan kepada pengantin perempuan sebahagian tanda kasih saying dan penerimaan mereka ke atas orang baru dalam keluarga. Selepas itu, imam akan membacakan doa kesyukuran di akhir majlis. Setelah itu barulah kedua pengantin berkunjung ke rumah keluarga untuk diperkenal-kenalkan yang diikuti oleh ibu bapa pengantin.
ADAT TARIAN SUKU KAUM ORANG SUNGAI
TARIAN SUMAZAU
TARIAN SUMAZAU
ADAT TARIAN SUKU KAUM ORANG SUNGAI
TARIAN SUMAZAU
TARIAN SUMAZAU
Menurut Asmad dalam buku Kesenian dan Tari, Tarian Sumazau adalah sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang terkenal di Sabah dan diseluruh Malaysia. Tarian Sumazau ini merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Suku kaum Kadazandusun ini merupakan bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal Indo-China. Terdapat 27 suku kaum didalamnya, antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Dusun Labuk Orang Sungai dan sebagainya. Memandangkan Orang Sungai berasal daripada Suku Kaum Kadazandusun, maka Orang Sungai juga membawa Tarian Sumazau pada hari perayaan.
Tarian Sumazau ini dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di Negeri Sabah pada setiap bulan Mei. Ilham Tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan oleh petani-petani yang berehat di sawah padi pada musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian Sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga menolak bala, menyemah semangat, mengubati penyakit, dan majlis perkahwinan. Pada zaman lampau, tarian ini ditarikan sebagai suatu persembahan kehormatan kepada para pahlawan masyarakat Kadazan yang baru balik dari sesuatu pertempuran.
Tarian ini ditarikan oleh kaum petani yang terdiri daripada kaum lelaki dan kaum perempuan dengan memakai pakaian tradisional. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong yang terdiri daripada 6 buah yang berlainan ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibarkan umpama kipasan sayap burung mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita berhadap dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakan turun naik seperti burung terbang.
Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya akan memakai pakaian tradisional berwarna hitam yang dinamakan sebagau Baju Kadazan. Baju Kadazan ini dihiasi dengan corak-corak yang menarik menggunakan benang yang berwarna emas. Difahamkan Baju Kadazan ini mempunyai harga yang amat mahal apabila dijual kepada pelanggan. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta tali pinggang yang diperbuat daripada duit syiling perak manakala penari lelaki biasannya akan memakai tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.
TARIAN TITIKAS
TARIAN TITIKAS
Tarian Titikas juga merupakan salah satu cara tarian yang dibawah oleh Orang Sungai untuk dipersembahkan pada majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, Pesta Tadau Kaamatan, menyambut ketibaan tetamu kehormat dan sebagainya. Tarikan Titikas ini berasal daripada suku kaum Orang Sungai di kawasan Kinabatangan, Sandakan. Pergerakan tangan semasa menari ialah seperti permainan ‘ingki-ingki’. Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi tarian ini dikenali sebagai ‘titikas’, ‘gabang’, dan juga gong.
ADAT KEMATIAN KAUM SUNGAI
kaum Sungai berasal dari suku kaum Idahan yang berada dikawasan Sandakan dan Kinabatangan. Orang Sungai dikatakan berasal daripada subkeluarga Idahan adalah Orang Sungai yang tinggal di kawasan Kinabatangan seperti Kampung Abai, Kampung Bilit, Kampung Segaliud dan Kampung Suan Lamba. Suku kaum Sungai begitu kuat memegang soal adat dan pantang larang semasa mengurus soal kematian. Kepercayaan, pantang larang dan adat-adat tersebut hendaklah dipatuhi. Kepatuhan ini perlu dilakukan kerana ia dianggap sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. Terdapat tiga tahap atau peringkat pengurusan jenazah, iaitu semasa mayat berada di rumah, semasa hari pengebumian dan majlis kenduri. Ketiga-tiga tahap ini mempunyai pantang dan adat yang berbeza-beza.
SEMASA MAYAT BERADA DI RUMAH
Apabila berlaku kematian, keluarga si mati akan menyediakan ruang untuk meletakkan mayat didalam kawasan rumah. Kebiasannya, mayat akan diletakkan di satu kawasan sudut ruang tamu rumah. Di tempat ini, jugalah jasad si mati akan dimandikan dan seterusnya dikafankan. Tujuannya bagi memudahkan saudara-mara dan sahabat handai untuk menatap wajah si mati. Untuk kali terakhir selain memudahkan bacaan doa yang serupa sedekah kepada si mati. Selepas itu, mereka akan memaklumkan kepada semua sanak saudara yang jauh ataupun dekat tentang kematian tersebut.
Semasa jenazah berada di rumah, jenazah ini akan ditutup dengan kain putih dan diletakkan al-Quran diatas kepalanya. Mayat yang baharu meninggal akan dimandikan Rupog terlebih dahulu sebelum proses memandikan mayat dimulakan. Semasa memandikan mayat, jika mayat itu seorang lelaki, ia akan diuruskan oleh imam dan pembantunya yang terdiri daripada kalangan keluarga si mati. Jika perempuan, maka mayat akan diurus oleh kaum wanita mayat kanak-kanak yang belum akil baligh tidak perlu dimandikan Rupog kerana mereka masih bersih dan suci.
Mandian Rupog sebenarnya bertujuan untuk membersihkan mayat daripada segala najis. Orang yang bertanggungjawab mengurus mandian Rupog ialah imam kampung. Mandian Rupog hanya menggunakan air biasa dan selepas dimandikan Rupog barulah mayat itu dipakaikan kain sarung baharu ataupun kain yang dipakainya semasa hidup. Selepas mandian Rupog selesai, segala barang yang diletakkan tadi hendaklah diletakkan semula di tempat asal. Selepas mandian Rupog, sanak saudara dan sahabat handai dibenarkan menziarahi si mati untuk kali terakhir dan memberi sedekah berupa doa atau membaca Surah Yasin dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran kepada mayat. Semasa mayat berada di rumah, sanak saudara akan menyediakan segala keperluan untuk menyempurnakan mayat. Kebiasannya, keperluan yang diperlukan ialah kain putih untuk dikafan, jenis-jenis air yang digunakan untuk memandikan mayat, menyediakan makanan dan minuman kepada para tetamu yang datang menziarahi si mati buat kali terakhir.
SEMASA HARI PENGEBUMIAN
Pada masa ini, sanak saudara dan sahabat handai akan bergotong-royong menguruskan jenazah sehingga selesai dikebumikan. Bagi kaum lelaki, ada yang akan berada di kawasan tanah perkuburan untuk menggali kubur dan ada yang berada di kawasan rumah untuk membantu membina khemah, membuat keranda yang diperbuat daripada batang buluh, batu nisan yang diperbuat daripada kayu (jika si mati seorang lelaki, bentuk nisan adalah bukat tetapi jika perempuan batu nisannya akan berbentuk ceper yang diperbuat daripada papan berukuran 2 inci panjang dan 4 inci lebar).
Sebelum kubur digali, imam yang bertanggungjawab mengurus jenazah mengukur ketinggian si mati. Kebiasannya mayat diukur menggunakan tali raffia sahaja. Setelah diukur, imam kemudiannya akan pergi ke kawasan tanah perkuburan untuk menandakan ketinggian, panjang dan lebar lubang kubur yang perlu digali. Lazimnya, ketinggian tetap adalah 7 kaki dan lebarnya 3 kaki, yang membezakan antara setiap lubang kubur adalah kepanjangannya sahaja.
Kubur yang hendak digali itu mestilah menghadap kiblat. Ketika hendak menentukan kawasan tanah yang hendak digali, imam akan menanda sambil membaca beberapa ayat suci dan doa supaya tidak berlaku perkara yang tidak baik semasa penggalian kubur dijalankan. Setelah ditanda, diukut dan dibaca doa maka barulah proses penggalian dimulakan. Kubur hanya boleh digali oleh seorang individu namun individu kedua boleh menggantikan individu yang pertama semasa proses menggali kubur itu. Hal ini dipercayai jika kubur digali oleh lebih daripada seorang atau bersama-sama, dipercayai akan mengikut jejak kematian selepas proses situ.
Proses memandikan jenazah hendaklah dilakukan dengan tertib dan beradab kerana jasad mayat dipercayai akan berasa sakit jika dimandikan dengan cara kasar. Terdapat empat jenis air yang digunakan semasa memandikan jenazah iaitu air bedak, air santan, air talkin dan air limau. Cara memandikan mayat hanya sepuluh kali sahaja iaitu dengan menjirus air sebanyak tiga kali ke kanan, selepas itu tiga kali ke kiri dan kemudian tiga kali di tengah. Air yang terakhir iaitu air yang kesepuluh dijirus ke seluruh badan mayat. Sepanjang perjalanan menuju ke tanah perkuburan, semua orang yang mengiringi jenazah akan berzikir.
KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG SEMASA KEMATIAN
Sekiranya kematian berlaku, orang kampung akan memberhentikan kegiatan seperti berkebun, memburu dan sebagainya. Kebiasannya mereka akan terus datang ke rumah si mati untuk menziarahi dan membantu mengerjakan atau menyiapkan kerja-kerja yang perlu dilakukan. Seterusnya, tidak boleh bertengkar sesame sendiri dalam kalangan ahli keluarga kerana dipercayai roh si mati masih berada di rumah dan dipercayai roh melihat segala perlakuan sanak saudaranya ketika itu, yakni sebelum jasadnya dikebumikan. Benda-benda tajam seperti gunting, pisau hendaklah diletakkan di pusat si mati. Tujuannya kerana dikhuatiri mayat akan diganggu dan dihasut oleh syaitan serta makhluk halus. Semasa jenazah masih berada di rumah, semua kucing akan ditangkap dan dikurung buat sementara waktu kerana dikhuatiri kucing akan melangkah mayat. Ketika memandikan mayat, sesiapapun dilarang berada di bawah kolong rumah kerana dikatakan tidak baik jika terkena air mandian mayat tersebut.
PERALATAN MEMBURU DAN PERALATAN MUZIK TRADISIONAL SUKU KAUM ORANG SUNGAI
Gabbang Kayu
Gabbang Kayu merupakan sejenis alat muzik tradisional suku kaum Orang Sungai di Daerah Kinabatangan. Berdasarkan sejarah awal mengenai muzik ini, Gabbang Kayu ini adalah salah satu alat muzik yang kedua terpenting selepas alat muzik kulintangan tembaga yang dibawa masuk oleh masyarakat Suluk sejak awal 1920-an lagi. Alat muzik ini diperbuat daripada beberaoa jenis kayu yang dipanggil Poggil, Litak dan Tilluh dalam bahasa tempatan. Setiap batang kayu akan dibentuk menjadi kepingan-kepingan kayu supaya menghasilkan nada muzik yang tertentu berdasarkan saiznya. Untuk mendapatkan nada bunyi yang sistematik, setiap kepingan kayu tersebut disusun mengikut prinsip kod muzik terkini.
Baliungan
Baliungan adalah sejenis alatan yang digunakan untuk menangkap ikan secara tradisional. Alatan ini satu-satunya aktiviti menangkap ikan yang berkonsepkan falsafah gotong-royong yang terdapat di Daerah Kinabatangan khususnya di kampung Bilit. Kaedah ini menggunakan beberapa jenis alat menangkap ikan yang dikenali sebagai rambat (jala) dan perahu yang dipanggil damas yang lengkap dengan pengayuhnya. Bilangan peserta dalam aktiviti ini sekurang-kurangnya tiga buah perahu. Setiap perahu harus mempunyai seorang tukang rambat dan seorang pengemudi perahu. Mereka perlu cekap dan tangkas bagi membolehkan mendapat hasil yang lumayan.
- Ikan Baung / Sopong Panggang
- Ikan Baung / Sopong Masak Asam Ampap
Mari Belajar Bahasa Sungai Makiang …
I. Soalan : Anu abar mu? – Apa khabar kamu?
Jawapan : Awarong. – Baik
II. Soalan : Ombo kiat mu? – Kamu dari mana?
Jawapan : Kiat aku dii waloi. – Aku dari rumah
III. Soalan : Nakaa kan koyo? – Kamu sudah makan?
Jawapan : Nakaa kano. – Sudah makan
IV. Soalan : Ada inakan mu? – Kamu makan apa?
Jawapan : Akanon om sansam. – Nasi dan sayur
PENUTUP
Kini suku kaum Orang Sungai sedang mengalami proses perubahan daripada nilai tradisi kepada nilai moden baik dari segi corak hidup mahupun amalan dan kepercayaan serta pantang larang. Perubahan ini selari dengan pendedahan generasi muda dengan pendidikan moden yang secara perlahan-lahan mula menghakis amalan nenek moyang mereka. Dengan erti kata lain, segala amalan yang tidak selari dengan akidah Islam telah ditinggalkan manakala amalan-amalan yang tidak bertentangan tetap diteruskan dengan cara membuat proses asimilasi. Namun, dalam kalangan generasi tua kebanyakkannya masih lagi berpegang teguh dan mengamalkan ritual kematian ini. Mereka meyakini peranannya dalam kehidupan seharian. Bentuk penempatan Orang Sungai buat masa sekarang masih lagi wujud sehingga ke hari ini tetapi mereka tidak lagi berpindah randah. Kawasan kampung yang diduduki oleh suku kaum Sungai pada masa sekarang ialah Kg.Sapagayo, Kg.Segama dan Kg.Binuang.